Tips kumpul duit kahwin bagi graduan

Lepas habis belajar, mesti semua orang nak kerja, beli kereta, beli rumah dan kahwin. Tak ada seorang pun yang kata lepas habis belajar nak duduk sesaja bawah ketiak mak.

Perkara paling berat ialah nak mengumpulkan duit untuk kahwin. Percayalah, itu satu-satunya belanja paling berat dalam hidup.

Nak kumpul duit untuk beli kereta dan rumah tak susah sangat. Cukup tiga bulan kerja dah boleh beli kereta. Lepas setahun pulak boleh beli rumah. Tapi bab kahwin, 3 tahun pun belum tentu cukup duit.

Zaman sekarang untuk berkahwin macam orang-orang kaya, RM30000 tak cukup. Lagi-lagi kalau kita duduk di tengah bandaraya. Sekarang di kampung pun trend berlebih dalam majlis kahwin juga nampak ketara. RM30000 berapa lama kita nak kumpul? Setahun, dua tahun, tiga tahun?

Saya mengambil kira trend anak muda lepasan universiti. Habis je belajar, kalau dapat kerja Alhamdulillah. Purata gaji RM2500 kalau lepasan Ijazah. Kalau diploma mungkin RM1700. Kalau yang tak dapat kerja dan memulakan bisnes sendiri, kebarangkalian untuk dapat RM30K sekelip mata memang tinggi. Tapi bagi kes biasa, gaji banyak tu takkan nak simpan RM1000?

Memang ada cara untuk simpan duit kahwin. Samada cepat atau lambat terpulang kepada disiplin diri. Saya dah praktikkan masa nak kahwin dulu. Kalau boleh kalian gunapakai, elok juga.

Tips kumpul duit kahwin

1. Jangan terjebak dengan kad kredit. Tak kira apa pun alasan kita, seboleh-bolehnya jangan guna kad kredit. Bahaya..

2. Jangan beli kereta lagi. Kalau boleh minimumkan kos perjalanan ke tempat kerja atau merewang dengan menaiki motor, basikal, LRT atau jalan kaki. Saya dapat simpan RM15K setahun sebab tak beli kereta masa mula-mula kerja dulu.

3. Tambah pendapatan sebanyak-banyaknya. Jadikan bakal isteri sebagai motivasi. Ingat dalam kepala, kalau tak cukup duit bila-bila masa je lelaki kacak yang banyak duit boleh masuk meminang. Tapi kalau dia taknak juga sebab kita sentiasa sengkek.. terimalah suratan takdir. Jangan tanya saya macam mana nak tambah pendapatan. Banyak kerja yang boleh kita buat. Cuma nak dengan taknak je.

4. Kurangkan perbelanjaan. Tips ini kalau kita tak mampu buat tips nombor 3 dengan baik. Belanja yang perlu dikurangkan ialah belanja sewa rumah, sewa telefon, sewa internet, sewa astro dan mengisi perut. Ada baiknya duduk serumah ramai-ramai untuk kurangkan kos sewa. Usah berlagak nak duduk kondominium yang sewanya RM1200 sorang-sorang atas alasan nak keselesaan (baca : senang bawak aweks).

5. Banyakkan berdoa kepada Allah agar dimudahkan dalam urusan perkahwinan. Kadang-kadang walaupun bakal pak mertua mintak hantaran tinggi, tapi sebab kita doa hari-hari Allah bantu kita dengan melembutkan hati pak mertua untuk sponser keseluruhan majlis kahwin kita. Kuasa doa kan..

Lima tips ni yang saya gunakan dulu. Alhamdulillah berjaya mengumpulkan duit untuk kahwin dalam masa tak sampai tiga tahun. Tapi jodoh tak kesampaian, akhirnya duit itu separuh digunakan untuk beli kereta, beli rumah dan sambung belajar. Dalam masa yang sama, saya dapat juga cari seorang isteri yang lebih cute dan memahami.

Dengan tips ini dan bantuan dari Allah saya berjaya simpan, kumpul dan guna duit itu untuk semua urusan mendirikan rumah dan tangga.


20 thoughts on “Tips kumpul duit kahwin bagi graduan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

CommentLuv badge