Aku adalah saksi yang melihat para dewa meluru turun dari tiap-tiap tempat tinggi. Ketika mereka berada di tempat tinggi, dewa-dewa sering menurunkan makanan buat orang halus. Lima tahun sekali mereka turun bersemayam atas astaka lalu memberi ingat kepada orang halus apa yang telah mereka beri. Lalu orang halus mendewakan mereka.
Asal dulu dewa-dewa juga melata di bumi bersama orang halus. Bersama-sama melawan sekutu Masaleikh dan pelbagai petualang lainnya. Dari situlah dewa-dewa diberi mandat untuk naik ke tempat tinggi. Ada banyak yang perlu dibuat.
Sayangnya dewa-dewa ini lupa yang mereka harus juga membawa naik orang halus ke tempat tinggi seramai mungkin. Tapi itu tak berlaku, dewa-dewa hanya membawa naik orang halus ke tempat tinggi sebilangan kecil sahaja.
Lalu ada orang halus yang mendampingi dewa-dewa dan mengajarkan mentera puaka yang kemudiannya dewa-dewa ajar pula kepada Bitara Tanpa Nama. Itulah mentera penyair yang turun dari gunung dan mentera anak kecil main api. Mentera itulah sumpah yang membawa para dewa meluru turun dari tiap-tiap tempat tinggi secara berjemaah.
Dan aku adalah saksi. Aku adalah saksi yang mendengar mentera itu dibacakan oleh Bitara Tanpa Nama. Dibacakan dengan sangat nyaring setiap lima tahun. Aku adalah saksi yang melihat mentera itu menjadi. Dan aku adalah saksi yang melihat para dewa meluru turun dari tiap-tiap tempat tinggi.
#BabLima
Leave a Reply