Bismillahhirrahmanirrahim.
Kalau kamu buka rahsia ni, hidup kamu takkan selamat. Kalau selamat pun, kamu tak hidup.
#1. Dalam Al-Quran tak ada satu ayat pun yang menyuruh kita menyembah Allah. Tak ada satu pun.
#2. Dalam dua kalimah syahadah juga tak kata bahawa Allah itu layak disembah.
#3. Dalam Islam tak ada ibadat sembahyang.
Tiga rahsia ni sudah cukup untuk manusia menghukum saya masuk neraka. Hukumlah. Manusia memang suka menghukum.
Menjawab point #1.
Al-Quran suruh kita mengEsakan Allah. Jangan mensekutukan Allah. Jangan syirik kepada Allah. Suruh kita menyerah diri kepada Allah. Sayangnya bila diterjemahkan ke Bahasa Melayu penterjemah selesa menggunakan perkataan “sembah” sedangkan maksudnya jauh berbeza.
Untuk point #2.
Makna dalam dua kalimah syahadah ialah “Aku bersaksi tiada ilah kecuali Allah. Dan aku bersaksi Muhammad itu rasul Allah.” Dua kalimah syahadah ialah kesaksian bahawa tidak ada suatu kuasa pun kecuali Allah. Yang sebenar-benar wujud hanya Allah. Dan kesaksian bahawa Muhammad itu seorang rasul, utusan bukti kewujudan Allah. Rasul di utus bersama tanda dan kalam Allah, kunci kepada semua persoalan tentang ketuhanan dan hakikat.
Untuk point #3.
Sembahyang itu ialah sembah. Sembah Allah untuk apa? Meninggikan darjat Allah? Allah tak perlu tu. Kalau tak ada seorang pun manusia yang sembah Allah, darjat Allah takkan berkurang. Tidak akan berkurang sedikit pun.
Kita diwajibkan SOLAT. Solat ialah kesaksian syahadah dengan hati, kesaksian dengan lidah, kesaksian dengan anggota badan. Bukan sembah. Ia dua perkara yang jauh bertentang. Solat itu tarbiyah dan istiqamah syahadah bahawa tiada apa pun yang berkuasa, tidak ada apa pun yang benar-benar wujud kecuali Allah. Solat itu untuk kita kenal dan sedar siapa kita. Solat tu untuk kita kerjakan sampai mati. Jadi, betul sempurna solat kita inilah yang mencegah kita dari melakukan kemungkaran dan kerosakan.
Solat bukan suatu ibadat untuk buat kita rasa kita ni orang baik-baik. Bukan untuk bezakan kita dari orang jahat. Bukan untuk bezakan kita dari orang jahil. Solat ni bukan tentang antara kita dengan orang lain. Solat ni ialah tentang kita dengan Allah. Ia tentang kesaksian kita ni makhluk, Allah itu Maha Pencipta. Semua hak dan kemuliaan pulang balik kepada Allah. Semua pulang balik kepada Allah. Kita ni tak ada apa, “telanjang”. Orang yang sangat menjaga solat sepatutnya jadi makhluk yang sangat pemalu dan sedar dirinya tak punya apa-apa. Sentiasa pula sedar yang dirinya dalam perhatian Allah. Malu semalu-malu. Bukan dabik dada jatuh hukum orang itu orang ini masuk neraka.
Kita cuma laksanakan hukum Allah ikut syariat yang telah ditetapkan. Bukan ikut hukum taghut. Bukan ikut hukum demokrasi. Bukan ikut hukum komunis.
Jadi, ketika kita nak buat apa pun. Terutamanya solat. Iktikad dalam hati, dan seluruh sendi dan liang roma.
Ya Allah, tiadalah upaya apapun padaku melainkan kudratMu lah jua. Aku berserah segalanya kepadaMu. Aku hanyalah saksi kekuasaanMu dan aku binasa.
Artikel ini bisa menjadi bahan renungan kita, Insya Allah kita bisa senantiasa menjaga keimanan untuk selalu takwa dan menyembah Allah Taala, Amin …
Saya tak sembah Allah. Saya hambakan diri kepada Allah. Diberi hayat, saya hidup. Diambil hayat, saya mati.