Bismillahirahmanirahim..
Aku mulakan Jumaat 1 April 2011 dengan entri Motivasi. Motivasi untuk aku meneruskan hidup. Banyak masalah melanda manusia pada masa ini. Masalah hati dan perasaan terutamanya. Perasaan yang bagaimana? Perasaan yang berbaur-baur, curiga, keluh-kesah, tidak keruan dan bermacam lagi. Akibat hati tidak tenang habis semua kerja tak jadi. Bukan setakat kerja sendiri tidak menjadi, bahkan kerja orang lain juga dikacaunya.Kembalikanlah hati pada Maha Penciptanya.
Bila diselak dua tiga akhbar perdana minggu ni, macam-macam perkara terjadi. Semuanya soal hati. Hati yang busuk melahirkan perlakuan yang buruk. Kisah pergolakkan politik sampah yang tak sudah-sudah. Menjemukan, memualkan, menjijikkan. Apakah perilaku jijik ini diwarisi oleh tok moyang kita? Aku rasa ya! Hasad dengki, iri hati, cemburu buta semakin subur di hati masyarakat Melayu. Pantang ada yang lebih sikit. Rasa iri terus menguasai jiwa. Lantas tindakan cantas mencantas dilakukan.
Tindakan menceritakan keaiban orang lain jelas dilarang oleh Allah. Kenapa ia jadi mainan. Adakah larangan Allah itu sampah. Boleh dipersendakan sesuka hati. Undang-undang terpilih subur terlaksana di bumi nan tercinta. Kenapa si anu tak boleh tapi si dia boleh. Pada hal undang-undang negara kata tidak boleh. Penguasa juga seperti dicucuk hidung. Umpama lembu. Otak tanpa akal. Masa si anu buat gegar digegar si penyebar, selamat si pelaku. Masa si dia buat gegar digegar si pelaku, penyebar terselamat. Tiada keadilan. Sekali lagi hati yang busuk main peranan.
Bagaimana mungkin kita hendak maju jika soal hati dan perasaan masih tidak dapat dikawal. Hati yang rosak dan parah tidak dirawat terlebih dahulu. Kebatilan menutup kebenaran. Inilah bahana jika Hati tidak bersih. Kotor dengan debu-debu dan lumpur kesumat.
Marilah sama-sama kita bersihkan hati dengan sentiasa mengingati Allah. Sentiasa bermakna setiap masa. Buangkan sifat-sifat buruk dalam hati itu dengan merendah diri. Caranya adalah dengan Solat Malam. Banyak kelebihan yang akan kita dapat bila solat malam. Solat sunat Tasbih, Solat sunat Tahajud, Solat sunat Hajat dan macam-macam zikir boleh kita buat. Selain beramal, hendaklah kita menurut perintah Allah tidak hanya memilih-milih. Buat apa yang di suruh dan tinggalkan apa yang dilarang. Insyallah kita akan menjadi umat berjaya.
Leave a Reply