Terlalu pantas rasanya masa berlalu dan kita telah pun sampai ke bulan yang paling ditunggu-tunggu selepas Ramadhan iaitu Syawal. Saya percaya pelbagai dugaan yang telah kita terima sepanjang menjalani ibadah pada bulan Ramadhan kali ini. Diharap kita semua dapat kembali kepada fitrah dan hidup tanpa dosa setelah mendapat keampunan dari Allah.
Terlebih dahulu, saya ingin kita sama-sama bertafakur seketika dan menyedekahkan Al-Fatihah serta doa buat mangsa nahas MH17 dan para syuhada di Palestine. Walaupun saya bukan keluarga terdekat mereka, namun saya turut merasakan kesedihan yang ditanggung oleh ahli keluarga dan rakan-rakan yang rapat dengan mereka. Hanya simpati dan doa yang dapat kita titipkan buat mangsa serta ahli keluarga mangsa yang pastinya amat sedih di atas pemergian yang tersayang dengan cara yang amat menyayat hati. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka dan ditempatkan di kalangan golongan yang beriman.
Kemalangan tidak berbau. Namun setiap kejadian pasti ada hikmahnya. Kita seharusnya mengambil iktibar dari kejadian ini dan terus bersatu hati tanpa mengira latar belakang, bangsa atau agama. Tidak dinafikan masih terdapat ramai di luar sana yang percaya akan teori-teori yang tidak diketahui kebenarannya. Namun saya amat memandang tinggi akan usaha Kerajaan dalam memastikan nasib mangsa nahas ini terbela.
Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin buat semua pembaca blog ini. Tanpa kalian, sudah pasti blog ini tiada maknanya lagi.
Akhir kata, saya dengan rasa rendah hati ingin memohon ampun dan maaf sekiranya terdapat salah silap yang mungkin menyinggung mana-mana pihak secara sedar dan lebih-lebih lagi yang tidak saya sedari. Dalam kita menyambut hari kemenangan ini, marilah kita saling mengasihi dan memaafi. Bersihkan hati, bersihkan jiwa. Raikanlah Aidilfitri ini dengan penuh kesederhanaan. Semoga Aidilfitri kali ni akan mengeratkan lagi ukhuwah sesama kita.
Hazmin Hamudin says
Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin.
KHAIRUL AMRAN says
Selamat hari raya, maaf zahir batin juga bro. Salam 0-0..