Hari-hari terakhir pengajian kami di Hunan Vocational College membawa kami ke tempat paling bersejarah dan tempat paling mulia bagi orang China. Aku beranggapan sebegitu kerana sepanjang tempat yang kami lawati samada lawatan formal atau tidak formal mesti akan terselit cerita beliau.
Mao Zedong, tidak asing lagi bagi kita di Tanah Melayu. Kekejaman rejim ini benar-benar menguris hati kita. Fahaman komunis yang dibawa ke Tanah Melayu kononnya bagi menghalau Jepun akhirnya memakan diri. Tetapi dengan kebijaksanaan Pahlawan kita, akhirnya Parti Komunis Malaya berjaya dihapuskan. Itu pun selepas penderitaan beberapa tahun.
Aku bukan melawat tempat lahir Mao Zedong di Perkampungan Shaoshan ini untuk mengagung-agungkan dia. Jauh sekali mengiktiraf perjuangan Komunis. Aku cuma ingin melihat sendiri apakah rahsia sehingga dia menjadi idola rakyatnya sehingga kini. Walaupun Soviet Union telah berkubur tetapi rupa-rupanya idea Karl Mark masih subur di sini.
Muzium Peringatan Mao Zedong mempersembahkan sejarah tokoh dunia ini. Kehidupan keluarganya sebagai petani kaya tidak menjadikan beliau seorang lupa diri. Belajar ke luar negara dan menjadi peneraju sebuah parti yang menjadi pegangan negara China sehingga kini.
Pemandu pelancong kami Yi, yang petah berbahasa Inggeris tidak jemu-jemu menerangkan kepada kami perjalanan hidup Jeneral Mao. Hampir tiada satu pun maklumat di dinding Muzium itu tertinggal untuk dia ceritakan.
Tidak hairanlah mengapa ideologi Komunis ini masih subur. Kanak-kanak sekolah dibawa oleh guru mereka ke muzium ini dan diperkenalkan dengan Negarawan ulung mereka.
Ibu bapa juga tidak ketinggalan membawa anak-anak mereka ke Muzium ini. Lihatlah bertapa sayangnya mereka kepada pengasas negara mereka.
Lihatlah betapa mereka masih menyebarkan ideologi ini ke serata dunia. Buku-buku ini akan menjadi bahan bacaan generasi ke generasi supaya ia tidak terkubur.
Kampung Kelahiran Mao Zedong
Selepas melawat muzium kami dibawa ke kampung kelahiran Mao Zedong. Orang ramai kelihatan di sekitar pintu masuk. Lebih ramai yang berada di dalam kawasan rumah. Oleh kerana kami terpaksa menunggu 90 minit untuk masuk, kami ambil keputusan untuk tidak masuk ke dalam. Kami cuma mengambil gambar kenang kenangan di hadapan rumah Jeneral Mao.
Sesungguhnya sejarah benar-benar mengajar kita. Jika di sini mereka berbangga dengan parti komunis disebabkan sejarah panjang parti itu yang memerdekakan China, kita di Malaysia semestinya merasa amat benci dengan mereka juga disebabkan oleh sejarah yang pernah kita alami. Kita kena ingat, ideologi ini tidak pernah berkubur. Jika kita tidak beringat, tidak mustahil ia mampu bangkit sekali lagi di tanah air kita.
Leave a Reply