Terasa segar pagi ini setelah mendapat rehat yang cukup. Hujan semalaman mengiringi mimpi-mimpi indah tidurku. Lawatan ke Miao Village akan bermula pukul 830 pagi, jadi aku cuma menyiapkan sarapan ala kadar. Bekalan mee segera yang aku bawa masih berbaki. Berulamkan timun dan buah epal dengan secawan kopi aku nikmati sarapan pagi ini. Aku tidak fikir ia mampu bertahan lama namun, aku masih bersyukur kerana masih banyak buah-buahan yang dijual untuk makanan tengahari aku nanti.
Jam 830 kami dibawa menaiki sebuah koster untuk check in di terminal bas. Ini adalah satu proses biasa. Kebenaran perlu diperolehi untuk melawat perkampungan Miao kerana kebanyakkan daripada mereka tidak begitu menerima kehadiran orang luar. Alhamdulillah proses ini berjalan lancar dan kami berjaya mendapat kelulusan.
Perjalanan kami melalui satu perkampungan. Koster berhenti dan kami meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki lebih kurang 30 minit. Di sepanjang perjalanan kami dikerumuni kanak-kanak yang meminta bekalan makanan yang kami bawa. Ramai juga orang tua yang menjual bunga. Mereka datang merayu-rayu supaya kita beli. Pemandu pelancong kami berpesan supaya tidak melayan mereka kalau kita tidak berhajat membeli.
Aku mengah berjalan di atas batas-batas bendang . Aku sangka, di hujung kampung ini adalah perkampungan Miao rupanya sangkaan aku meleset sama sekali. Di hujung kampung ini hanyalah satu permulaan yang panjang. Inilah pintu masuk Miao Village. Di atas empangan ini kami akan menaiki rakit menyelusuri dua batang sungai lagi untuk sampai di Miao Village.
Di hujung sungai ini kami benar-benar terkejut bila diberitahu perjalanan akan melalui gua gelap yang panjang dan mendaki tangga di celah-celah bukit.
Aku teringat kepada sebuah dokumentari yang menceritakan satu etnik di China akan memanjat lereng bukit untuk sampai di penempatan mereka di atas pergunungn. Apakah perjalanan kami akan sengeri itu. Ahh lupakan semua itu dan teruskan perjalanan.
Setelah berjalan menyelusuri gua dan memanjat gunung, kami sampai di kawasan perkampungan.
Penduduk Miao Village mempunyai jatidiri yang sangat kuat. Mereka masih mengekalkan cara hidup lama. Rumah mereka diperbuat daripada kayu dan batu yang disusun membentuk dinding. Memang nampak unik dan klasik.
Kebanyakkan mereka menjalankan aktiviti pertanian dan berniaga. Di lereng bukit berhampiran rumah mereka, pelbagai tanaman kelihatan menghijau.
Aku berpeluang merasai sendiri suasana dalam rumah kediaman penduduk di sini. Mengenali cara hidup masyarakat ini menambahkan lagi kesyukuran terhadap apa yang aku miliki. Usah mengeluh dengan apa yang kita tiada. Begitulah pengalaman yang dapat aku kongsi.
Diharap dengan sedikit perkongsian ini akan memberi sedikit ilmu untuk kalian. Ingat! Kita tidak semestinya belajar ilmu kehidupan melalui pengalaman sendiri, belajar melalui pengalaman orang juga satu cara pembelajaran berkesan.
Okeh jumpa lagi di next entry. Banyak betul yang aku nak ceritakan di sini. Namun kekangan masa membatasi segalanya. Kelas kami bermula 830 pagi sampai 1730 petang Isnin – Sabtu. Jadi masa cuti yang terhad agak membatasi aktivuti aku menjelajah bumi Hunan ini.
Anuar says
Terima kasih Cikgu Khairul di atas perkongsian info dan pengalaman…