Adapun huruf hijaiyah itu ada 29 huruf banyaknya. Diambil oleh orang Jawi lalu dibuat kaedah penulisan baru yang dinamakan tulisan Jawi dengan 30 huruf banyaknya. Lebihan satu itu ialah huruf Lam-Alif.
Sebelum kedatangan Islam, orang Melayu menulis dengan tulisan Rejang atau dikenal juga tulisan Rencong. Sulit untuk menulis perkataan Melayu dan Arab sebaris, khasnya perkara berkaitan ilmu agama Islam. Jadinya tulisan Rencong ditinggal terus, diganti dengan tulisan Jawi.
Sehingga suatu masa Pendeta Zaaba menambah lagi enam huruf menjadikan tulisan Jawi itu 36 huruf. Terkini entah siapa tambah lagi satu huruf menjadikannya 37 huruf.
Hari ini tulisan Jawi berupaya menulis hampir semua pertuturan bahasa Melayu. Untuk perkataan bahasa Melayu, struktur ejaannya adalah seperti yang kita sedia maklum. Manakala untuk perkataan Arab, ejaannya mengikut ejaan asal bahasa Arab. Manakala perkataan yang dicedok dari perkataan Inggeris atau Eropah dieja mengikut struktur Rumi, iaitu dieja satu-satu.
Manakala tulisan Rumi pula direka adaptasi dari huruf Romania. Rumi mengalami transformasi yang banyak. Gaya penulisan berubah, dan ada huruf yang digugurkan seperti huruf é.
Sedikit perkara umum yang perlu kita fahami ialah teks tulisan Jawi tak dapat diterjemah ke teks tulisan Rumi dengan tepat. Begitu juga sebaliknya. Sekiranya ada teks Jawi yang perlu ditulis semula sebagai teks Rumi, ia ialah mentafsir, bukan menterjemah. Begitu juga sebaliknya.
Tulisan Jawi berasaskan phonetic, ia tidak punya huruf besar dan huruf kecil. Tidak ada penggunaan huruf besar di awal ayat atau di awal perkataan khas. Jika teks Rumi ditulis semula dengan teks Jawi, huruf besar itu akan hilang. Sekiranya teks Jawi ditulis semula dengan teks Rumi, penggunaan huruf besar ditulis berdasarkan kefahaman tuan tulis.
Begitu jugalah permasalahan yang timbul bila Taurat yang turun dalam bahasa Ibrani ditulis semula dalam bahasa Inggeris.
Begitu juga permasalahan yang timbul bila Injil yang turun dalam bahasa Yunani ditulis semula dalam bahasa Inggeris.
Ibrani dan Yunani seperti Arab juga, tak ada huruf besar dan huruf kecil. Bila ditulis semula dalam bahasa Inggeris, penggunaan huruf besar di awal perkataan tertentu ialah berdasarkan kefahaman tuan tulis.
Leave a Reply